ServerProtect
bantu lindungi Linux daripada ancaman virus
(sumber utusan malaysia
16/11/01)
Syarikat Trend Micro Inc., antara pemimpin industri teknologi
keselamatan kandungan Internet dan anti virus rangkaian global
baru-baru ini mengumumkan pengenalan perisian perlindungan
ancaman serangan virus siber dipanggil ServerProtect untuk
pelantar sistem operasi Linux.
Aplikasi
terbaru itu memberikan perlindungan virus untuk OS Linux
sepenuhnya bagi komputer pelayan fail organisasi berasaskan
Linux yang dipasarkan oleh Red Hat (v6.2 atau 7.1).
Dengan
keupayaan pengimbasan masa nyata, ServerProtect untuk Linux
mampu mengelakkan pelayan fail Linux daripada menjadi tempat
simpanan dan pelancaran fail-fail yang dijangkiti virus.
ServerProtect
untuk Linux itu mampu mengenyahkan virus dan kod-kod jahat
lain pada tahap komputer pelayan, sebelum anasir jahat Web
itu tersebarluas keseluruhan rangkaian menerusi dokumen-dokumen
dan menjangkiti sekitaran pengkomputeran yang lain.
Malah
ia diperkukuhkan dengan ciri pengurusan konsol asas Web,
yang memberikan fungsi pengimbasan virus jarak jauh, pembaharuan
corak (pattern) virus, laporan peristiwa, dan keupayaan
konfigurasi anti virus.
Proliferasi
mendadak dan kuasa pemusnah virus-virus dan kod jahat yang
lain, yang mampu tersebarluas menerusi dokumen dikongsi
menyerlahkan lagi keperluan organisasi melengkapkan diri
dengan sistem perlindungan virus asas-pelayan.
Trend
Micro merupakan antara yang pertama menangani kemelut itu
untuk pelantar sistem terbuka dengan membangunkan aplikasi
InterScan VirusWall untuk Linux untuk menyokong Red Hat,
SuSE, dan Turbo Linux.
Menurut
IDC, Linux kini berada di tempat kedua dalam pasaran pelayan,
dengan kira-kira 27 peratus pasaran di belakang Microsoft
Windows.
Trend
Micro ServerProtect untuk Linux memberikan pengimbasan virus
komprehensif bagi pelayan fail menggunakan Red Hat Linux
dalam mengesan dan membuang virus-virus yang dikenali atau
tidak dengan cepat.
Antara
ciri-ciri utama itu ialah:
Pengurusan
jauh menerusi Pelayar Web - Aplikasi ini menggunakan konsol
asas pelayar Web yang membenarkan pentadbir sistem mengawal
aplikasi dari sebarang lokasi menerusi Internet. Konsol
itu boleh diakses menggunakan Microsoft Internet Explorer
atau Netscape Navigator.
Pengimbasan
masa nyata dan berjadual - Selain daripada pengimbasan on-demand,
atau Scan Now, ServerProtect juga mampu membersihkan virus-virus
secara automatik - tanpa sebarang bantuan pengguna. Pengimbasan
masa nyata akan menyemak fail-fail atau virus apabila mereka
sedang diakses, seperti ketika fail sedang disalin atau
dibuka.
Pembaharuan
Komponen Manual atau Automatik - Pentadbir rangkaian boleh
melakukan pembaharuan (update) secara manual atau automatik
untuk mendapatkan corak virus baru dan fail-fail enjin pengimbas
demi mendapatkan perlindungan terkini.
Mungkin
ciri paling menarik ialah Pemberitahuan Serangan Virus -
Pentadbir juga boleh memilih menerima e-mel atau pemberitahuan
Simple Network Management Protocol (SNMP) mengenai peristiwa
sistem atau virus yang berlaku pada mesin ServerProtect.
Aplikasi
ServerProtect untuk Linux Versi 1.0 kini boleh dipindah
terima daripada tapak Web Trend Micro dengan harga RM96
untuk setiap pengguna, dan minimum sepuluh pengguna.